Wednesday, October 5, 2011

sambungan...

Ketiga: doa anak yang soleh/solehah, 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnyakecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Hadith ini juga diriwayatkan dengan lafaz yang lain seperti berikut: 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati , putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) (1) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (2) 
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad) 

"Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti: 

(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya. 
(2) Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya. 
(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum. 
(4) Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya. 
(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya. 

Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing. 

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati . 

Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya. 

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati . 

Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya" 
Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya. 
Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. 

Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu. 


Keempat: melangsaikan hutang harta si mati 
Orang ramai boleh juga membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Di antaranya:
Di dalam satu hadis sahih yang bermaksud:

Berkata Jabir bin Abdullah rh: Telah meninggal dunia salah seorang daripada kami, lalu kami mandikannya, kapankannya dan kemudian kami letakkan jenazah di tempat yang biasa diletakkan jenazah iaitu di Makm Jibril untuk diselesaikan oleh Rasulullah saw. Dan kami memaklumkan kepada baginda untuk disolatkan jenazahnya. Lalu baginda pun datang mendekati jenazah lalu bertanya kepada kami, Barangkali jenazah ini ada meninggalkan hutang. Lalu kami jawab, Benar, ya Rasulullah. Ada 2 dinar. Rasulullah saw berundur dan bersabda, kamu sahajalah yang menyembahyangkan jenazah sahabatmu ini. Lalu salah seorang daripada kami yang di panggil Abu Qatadah berkata, Ya Rasulullah, kedua-dua dinar hutang jenazah ini adalah tanggungjawab saya. Kemudian Rasulullah bersabda lagi, Mula sekarang, 2 dinar itu menjadi tanggungjawab engkau, Abu Qatadah dan engkau mesti ambil dari wang kau sedangkan jenazah ini bebas daripada kedua-dua dinar itu? Jawab Abu Qatadah, Benar, ya Rasulullah. Setelah mendengar pengakuan daripada Abu Qatadah bahawa ia bertanggungjawab melunasi hutang jenazah tersebut, barulah Nabi saw melakukan solat jenazah ke atas si mati. Dan diriwayatkan, pada keesokan harinya, Rasulullah saw bertemu akan Abu Qatadah dan bertanya kepadanya, sudahkah kau lunasi hutang jenazah semalam? Abu Qatadah menjawab, Wahai Rasulullah, bukankah dia baru sahaja meninnggal dunia semalam. Kemudian setiap hari apabila Nabi saw bertemu Abu Qatadah maka akan ditanya, Apakah kamu telah lunasi hutang 2 dinar itu? Jawab Abu Qatadah, telah aku lunasi hutang itu. Mendengar akan jawapan Abu Qatadah, Rasulullah saw bersabda, Sekarang barulah dingin kulitnya kerana azabnya baru sahaja diangkat kerana hutangnya telah selesai.

Hadis di atas memberitahu kita bahawa hutang wajib dilunasi. Bahkan dalam hadis yang lain ada menceritakan bahawa hutang wajib didahului dari keluarga yang miskin. Di dalam hadis di atas juga, mengkhabarkan bahawa bukan sahaja ahli waris yang boleh melunaskan hutang si mati, tetapi juga orang lain yang tiada ikatan kekeluargaan. 

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati.

Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah s.a.w bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan." 
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim). 


Kelima: Amalan baik anak sendiri 

Di dalam Al-Quran, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. 
Bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:

Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anakanya adalah sebahagian daripada usahanya.
[Hadith sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai]

Di dalam hadis yang lain:

Hadis Aisyah r.a: 
Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! 

Sahih Muslim

Maka jelas, keumuman ayat Al-Quran di atas telah diperjelaskan oleh Rasulullah saw di dalam banyak hadis dan di antaranya hadis di atas.



credit to BLOG KEUNGGULAN ISLAM

No comments:

Post a Comment